Perbuatan lelaki mengumpil tabung masjid dirakam CCTV sebelum dia ditangkap petang semalam. FOTO ihsan polis
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


LELAKI berusia 22 tahun ditahan polis di parkir motosikal di Pangsapuri Limau Manis, Bukit Mertajam, petang semalam, selepas disyaki terbabit dalam kegiatan curi di masjid.

Dalam kejadian Rabu lalu, Timbalan Pengerusi Masjid Jamek Padang Lalang Bukit Mertajam membuat laporan apabila mendapati terdapat kesan umpil pada tabung dan RM1,200 wang derma dilarikan suspek.

Perbuatan itu dikesan selepas pengurusan masjid meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Sehari sebelum itu, suspek sama mencuri seunit alat kawalan pembesar suara di Masjid Kebun Sireh.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, bertindak melalui laporan diterima daripada pengurusan dua masjid, polis membuat serbuan di tempat letak motosikal Pangsapuri Limau Manis dan kedai besi buruk, Jalan Padang Lalang menerusi Op Lejang semalam.

"Polis memberkas suspek di tempat letak motosikal dan soal siasat mendapati dia mengaku terbabit dalam dua kegiatan curi berkenaan.

"Susulan itu, polis membuat serbuan kedua di kedai besi buruk dan menjumpai seunit alat kawalan pembesar suara yang dipercayai dijual suspek," katanya.

Nik Ros Azhan berkata, pihaknya merampas sebuah motosikal digunakan suspek, seunit alat kawalan pembesar suara, sepasang kasut berwarna merah dan hitam, seluar jeans biru ,sehelai baju T dan topi keledar berwarna putih serta sejumlah wang tunai.

Beliau berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dia kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT untuk mendapatkan perintah reman bagi siasatan lanjut.

"Suspek mensasarkan kawasan masjid dengan masuk melalui pintu tidak berkunci.

"Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 11:23 AM