ANTARA pasangan pengantin di Majlis Persandingan Perdana Peringkat negeri sempena Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2017 di Dataran Sungai Melaka, Kampung Morten. FOTO Muhammad Zuhair Zubir
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


MIMPI dikunjungi ulama berjubah membuka hati peniaga memeluk Islam, sejak lebih setahun lalu.

Muhammad Amirul Sun, 52, berkata, dia memeluk Islam selepas diserang angin ahmar pada Jun 2016, terbuka hati berasakan dirinya tidak lengkap.

“Saya bermimpi ketika diserang angin ahmar. Dalam mimpi itu, dia mengajar saya sesuatu tapi tak jelas.

“Saya mencari-cari apakah yang diperkatakan ulama itu sehinggalah saya memeluk Islam, pada Ogos tahun lalu,” kata Muhammad Amirul.


FOTO Muhammad Zuhair Zubir

Muhammad Amirul ditemui pada Majlis Persandingan Perdana anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Taman Rempah, Melaka, malam semalam.

Katanya, dia sudah lama berpisah dengan isteri iaitu sebelum diserang angin ahmar.

“Sudah lama saya berniat mahu berkahwin dengan rakan perniagaan sehinggalah saya memeluk Islam.

“Saya kemudian melamar dan Alhamdulillah rakan saya setuju berkahwin,” kata Muhammad Amirul, yang berkahwin dengan anak dara Norita Deraman, 39.

Norita berkata, dia yakin suaminya adalah jodoh terbaik dan perkahwinan mereka diterima baik keluarga.

Sementara itu, 10 mualaf antara 20 pengantin yang menyertai program terbabit yang dianjurkan sempena Pesta Sungai Antarabangsa Melaka.

Sebahagian peserta bernikah di Dewan Serbaguna Lorong Pandan, Sabtu lalu, manakala sebahagian lagi dinikahkan lebih awal.

Pengantin turut dibawa menaiki bot Melaka Rivercruise.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 11:20 AM