Ahmad Zahid merasmikan Persidangan Agung Tahunan GPMS ke-63, semalam.
Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my


Kelana Jaya: Timbalan Perdana Menteri menyokong cadangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) supaya diwujudkan Suruhanjaya Pendidikan bagi memastikan dasar pendidikan kebangsaan diikuti dengan konsisten biarpun bertukar kepimpinan di peringkat menteri.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, suruhanjaya itu relevan dan penting bagi memastikan setiap dasar pendidikan negara atau berkaitan dengannya dilaksanakan dengan baik.

“Jangan berubah apabila menterinya berubah. Jangan jadikan murid dan pelajar kita untuk dimasukkan dalam makmal ujian, mereka bukan bahan uji kaji.

“Mereka adalah aset negara kita yang harus diperkasakan. Jangan ada agenda peribadi dalam sektor pendidikan, jangan ada pemikiran sempit.

“Kita kena bangunkan bangsa dan negara kita di persada yang lebih memuncak dan menjanjikan pemerkasaan untuk pencapaian mobiliti sosial yang bersifat vertikal,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Agung Tahunan GPMS ke-63, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Presiden GPMS Zambri Mohd Isa.

Terdahulu Zambri dalam ucapannya mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan supaya sistem pendidikan negara berada di landasan tepat dan tidak berubah mengikut pertukaran Menteri Pendidikan atau Menteri Pendidikan Tinggi.

Dalam majlis itu, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi pelaksanaan aktiviti dan program GPMS tahun depan serta mencadangkan penukaran nama pejabat GPMS daripada Banglo GPMS kepada Teratak GPMS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 5:41 AM