PATI yang ditahan diarah masuk ke dalam trak sebelum dibawa ke Depo Tahanan JIM Selangor.
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

Bangi : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 78 pendatang asing tanpa izin (PATI) hasil operasi bersepadu di Pangsapuri Jubli Perak, Bandar Baru Bangi, dekat sini, semalam.

Ketua Operasinya, Penolong Pengarah JIM Nurulmasha Nazlinan Husin berkata, dalam operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 2.30 pagi itu seramai 147 pegawai dan anggota membabitkan JIM Putrajaya, JIM Kuala Lumpur, JIM Melaka, JIM Selangor serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dikerah bagi memeriksa PATI di kawasan terbabit susulan maklumat awam.

Katanya, menerusi operasi itu sebanyak 13 blok bangunan pangsapuri membabitkan lebih 150 unit kediaman diperiksa oleh anggota penguat kuasa bagi mengesan PATI.

“Seramai 254 individu diperiksa termasuk warga tempatan dan daripada jumlah itu, 184 individu adalah warga asing.

“Hasil pemeriksaan kami menahan seramai 78 PATI membabitkan 39 lelaki dan 39 wanita terdiri daripada warga Indonesia, Pakistan dan Myanmar.

“Semua yang ditahan dibawa ke Depo Tahanan JIM Bukit Jalil, Kuala Lumpur bagi tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.


LAPORAN Harian Metro, kelmarin.

Nurulmasha berkata, pemeriksaan sama juga akan dilakukan dari semasa ke semasa terhadap rumah flat atau pangsapuri yang banyak dihuni warga asing dengan sewaan daripada penduduk tempatan.

“Siasatan JIM juga akan mencari dan memantau pemilik rumah yang menyewakan kepada warga asing yang tidak memiliki dokumen sah dan mereka juga boleh diambil tindakan,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro mendedahkan lambakan PATI yang menghuni kediaman di sekitar pangsapuri terbabit sehingga membuatkan penduduk kawasan terbabit kecewa dan bimbang mengenai kegiatan negatif yang dilakukan warga asing di kawasan itu.

Berita berkaitan

Bengang betul! [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 9:58 AM