ANTARA suspek yang ditahan polis.
HM Digital

Sibu: Tindakan seorang lelaki merakam gambar seorang wanita ketika menjamu selera di kedai makan di Jalan Wong King Huo di sini, mencetuskan pergaduhan membabitkan sekumpulan lapan individu, kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan mereka itu mengundang padah apabila enam daripada tujuh lelaki dan seorang wanita yang terbabit dalam pergaduhan itu ditahan jam 1.30 tengah hari
di dua lokasi berasingan
di bandar ini.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zailanni Amit berkata, pergaduhan berpunca apabila wanita yang berusia 30 tahun berang dengan tindakan seorang lelaki merakam gambarnya menggunakan telefon bimbit.

Menurutnya, wanita terbabit yang menyedari perbuatan itu bersemuka dengan lelaki berusia 26 tahun berkenaan sehingga tercetus pergaduhan.

“Wanita itu turut merampas telefon bimbit di tangan lelaki berkenaan sebelum menamparnya.

“Berang ditampar, lelaki berkenaan membalas dengan menyiku muka wanita terbabit menyebabkan rakan mereka masuk campur lalu tercetus pergaduhan,” katanya, semalam.

Zailanni berkata, rakan bagi pihak wanita dan lelaki terbabit masing-masing bergaduh dengan sebahagian daripada mereka menggunakan kayu.

Katanya, ada juga antara mereka yang menggunakan pedang samurai bagi menakutkan lawan masing-masing namun pergaduhan itu tidak membabitkan sebarang kecederaan.

“Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sibu mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian itu selepas melihat rakaman video pergaduhan itu tular di media sosial.

“Hasil risikan, tiga suspek ditahan di Jalan Keranji, manakala empat lagi suspek ditahan di Jalan Kampung Nyabor di sini. Semua yang ditahan berusia 20-an dan 30-an.

“Seorang lagi suspek masih bebas namun identitinya dikenal pasti dan ditahan secepat mungkin bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 9:49 AM