pelancong merakamkan gambar burung helang yang berlegar berdekatan rumah api.
Keindahan pemandangan di Bukit Batu Putih.
Salman Hamat dan Mohd Hilmie Hussi
am@hmetro.com.my

Melaka: Sempadan daratan dan perairannya dikelilingi Negeri Sembilan namun ia sebenarnya sebahagian daripada negeri Melaka.

Itulah keunikan Taman Eko Rimba Tanjung Tuan di Alor Gajah, di sini, yang turut dikenali dengan panggilan Cape Rechado.

Secara amnya Taman Eko Rimba Tanjung Tuan yang juga Hutan Simpan Kekal popular dengan rumah api yang wujud sejak zaman penjajahan lagi.

Namun, ia sebenarnya destinasi popular dalam kalangan pencinta alam seperti pendaki gunung dan peminat burung pemangsa selain kaya dengan flora dan fauna.

Sekitar 1606 pantai Tanjung Tuan terkenal sebagai kawasan pertempuran tentera laut dalam kalangan kuasa penjajah. Selepas penaklukan Portugis terhadap Melaka pada 1511, mereka membina sebuah rumah api untuk mengawal kapal yang datang berdagang ke negeri ini.

Pembinaan rumah api berkenaan dikatakan bermula antara 1528 hingga 1529 yang mana kemudahan itu terus dimanfaatkan Belanda yang menawan Melaka pada 1641 diikuti pihak British pada 1824.

Menerusi Ekspedisi Saintifik oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) membabitkan sekumpulan penyelidik bermula 30 Mac hingga 4 April 2008, Taman Eko Rimba Tanjung Tuan dianggap sebagai hutan pesisir pantai yang kaya dengan kepelbagaian bio khususnya pokok.

Hasil kajian mendapati komposisi pokok, struktur dirian, biojisim atas tanah, keluasan pangkal, indeks nilai kepentingan dan indeks kepelbagaian spesies yang tinggi setara dengan hutan dipterokarpa tanah rendah di Semenanjung Malaysia.

Dengan kekayaan spesies dan ketinggian nilai biojisim, kumpulan penyelidik terbabit bersetuju bahawa Taman Eko Rimba Tanjung Tuan perlu dikekalkan sebagai hutan dipulihara untuk tujuan ekopelancongan dan fungsi lain yang mendatangkan manfaat kepada negara.

Pengarah Perhutanan Melaka Azni Rahman A Wahid berkata, sepanjang ekspedisi itu kumpulan penyelidik membanci 494 pokok di dalam plot kajian yang mengandungi 102 spesies dan 71 genus daripada 34 famili.

Menceritakan mengenai sejarah Taman Eko Rimba Tanjung Tuan, beliau berkata, keluasan terkini hutan berkenaan kini 74.08 hektar dan secara rasmi dikenali sebagai Hutan Rekreasi Tanjung Tuan pada 2000.

“Pada 1921 kawasan hutan ini diwartakan sebagai hutan simpan kekal dengan keluasan 80.97 hektar dan ketika itu dikenali dengan nama Hutan Simpan Cape Rechardo.

“Pada 5 Januari 1971, 60.70 hektar daripada kawasannya diwartakan sebagai Suaka Hidupan Liar dan Burung-Burung mengikut Ordinan Perlindungan Binatang-Binatang Liar dan Burung-Burung di bawah kuasa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

“Namun begitu pewartaan semula pada 2007 mengesahkan keluasan sebenar Hutan Simpan Tanjung Tuan adalah 74.08 hektar.

“Sekarang ini Taman Eko Rimba Tanjung Tuan terus menjadi tumpuan orang ramai untuk beriadah.

“Sepanjang tahun lalu kami merekodkan seramai 63,927 orang mendaki ke puncak hutan simpan ini. Sepanjang tahun ini bermula Januari hingga Oktober lalu saja, 76,449 orang mengunjungi hutan simpan ini kami jangka angka itu akan bertambah,” katanya.

Beliau berkata, selain kaya dengan pelbagai jenis pokok dan menjadi persinggahan burung hijrah, Taman Eko Rimba Tanjung Tuan turut terkenal dengan Bukit Batu Putih iaitu struktur batuan di lereng bukit yang mengunjur ke laut.

Menurutnya, susunan batuan semula jadi yang unik berlatarbelakangkan Selat Melaka menyebabkan ia menjadi tumpuan orang ramai untuk merakam gambar kenangan walaupun ia belum dibuka kepada umum secara rasmi.

“Kami dalam cadangan untuk memperbaiki laluan dan memasang tali untuk tujuan keselamatan berikutan pengunjung berisiko terjatuh jika tergelincir ketika melalui batuan berkenaan untuk bergambar,” katanya.

Beliau berkata, jabatan perhutanan negeri bercadang menganjurkan satu lagi ekspedisi saintifik pada tahun depan untuk mengenal pasti lebih banyak spesies pokok terdapat di Taman Eko Rimba Tanjung Tuan.

“Kami anggarkan ada pokok di hutan simpan ini sudah melebihi 100 tahun, Ini berdasarkan saiz dan ketinggiannya yang sudah mencecah sehingga 14 meter. Contohnya meranti tembaga, 126 sentimeter (sm) dan keruing, 133sm,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 8:46 AM