WAN Nur Hazirah menunjukkan iPhone7 yang dimenanginya.
HM Digital

Kuala Lumpur: “Ini kali pertama saya menyertai pertandingan dan tidak sangka ia terus membawa tuah hadiah bernilai lebih RM3,000 walaupun hanya belanja RM159,” kata Wan Nur Hazirah Norizan, 25.

Pustakawan sekolah swasta itu diumumkan pemenang peraduan Selfie & Menang iPhone 7 anjuran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Menurut Wan Nur Hazirah, dia tidak menyangka mampu menewaskan sembilan peserta lain yang disenarai pendek pada pertandingan itu yang bermula 14 Ogos sehingga 30 September lalu.

“Tambahan pula ini julung kali saya sertai pertandingan yang bermodalkan RM159 untuk langganan ePaper akhbar New Straits Times (NST), Berita Harian (BH) dan Harian Metro (HM) selama setahun.

“Ternyata saya bukan saja bertuah melanggan akhbar digital pada harga murah, malah dapat iPhone 7 bernilai lebih RM3,000 menggantikan iPhone 5c saya yang digunakan sejak empat tahun lalu,” katanya pada majlis penyampaian hadiah peraduan itu di Balai Berita NSTP di sini, semalam.

Hadiah disampaikan Ketua Pemasaran Dagangan Jabatan Pengedaran dan Jualan Akhbar NSTP, Mohd Fikre Hashim.

Peraduan Selfie & Menang iPhone 7 memerlukan peserta melanggan akhbar digital ‘SEA GAMES’ pakej setahun memuat naik gambar berkenaan di akaun Facebook dan Instagram dengan #NSTPSEAGames2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 6:48 AM