Gambar hiasan.
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


USAHA bersepadu perlu dilaksanakan untuk menggalak dan memastikan institusi tahfiz yang melaksanakan kurikulum kebangsaan berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) selaras dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Perkara berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pasukan Petugas Khas Sekolah Tahfiz kali kedua yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, usaha itu perlu dilaksanakan antara KPM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pihak berkuasa agama negeri serta persatuan tahfiz.

Selain itu, beliau berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Oktober lalu bersetuju memberi peruntukan sebanyak RM30 juta lagi sebagai tambahan kepada RM30 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2017 untuk menambah baik institusi tahfiz seluruh negara tahun ini.

"Peruntukan secara sekali gus ini disalurkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk penyelarasan agihan kepada agensi yang terbabit bagi penambahbaikan dan menaik taraf aspek keselamatan institusi tahfiz," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat berkenaan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, satu aspek penambahbaikan yang perlu diberi perhatian serius ialah memastikan pembaikan yang dibuat menepati spesifikasi yang ditetapkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dalam memastikan sekolah tahfiz mempunyai tahap persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selamat," katanya.

Beliau berkata, pada pembentangan Bajet 2018 lalu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada GiatMARA untuk membaik pulih dan menyelenggara sistem pendawaian di semua institusi tahfiz berdaftar seluruh negara.

Di samping itu, Skim Latihan Kemahiran GiatMARA juga akan diperkenalkan untuk melatih pelajar tahfiz supaya lebih berkemahiran.

Mesyuarat siri kedua ini diadakan bertujuan meneliti tindakan susulan yang diambil oleh agensi berkaitan terhadap keputusan yang sudah dipersetujui ketika mesyuarat kali pertama pada September lalu.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 9:24 PM