Fardy Bungga
fardy@hmetro.com.my


MARKAS Pemerintahan Armada Timur, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu menerima kunjungan operasi dua kapal perang Tentera Laut Republik Korea (TLRK) Kang Gam Chan DDH 979 dan Hwa Cheon AOE 59 milik Korea Selatan, hari ini.

Kedua-dua kapal berkenaan yang tiba jam 10.30 pagi itu diketuai Komander Gugus Tugas Latihan, Rear Admiral Yang Yong-mo dan akan berlabuh selama tiga hari sehingga 26 November ini untuk beberapa aktiviti menarik bagi orang ramai dan TLDM.

Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman berkata, kedua-dua kapal perang itu dibuka kepada orang ramai untuk lawatan selama dua hari bermula Sabtu ini.

Selain itu katanya, pelbagai acara kerjasama kedua-dua pihak turut dianjurkan termasuk majlis resepsi ketua-ketua kerajaan Sabah dan aktiviti kemasyarakatan yang diadakan di Persatuan Rumah Amal Sabah.

“œSelain mengeratkan hubungan kedua negara, kehadiran kapal-kapal perang ini juga dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

“€œAcara yang menjadi perhatian adalah persembahan €˜Navy Joint Performance™ Korea Selatan yang berlangsung di Auditorium Tun Ahmad Raffae, Menara Tun Mustapha ahad ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Komander Gugus Tugas Latihan, Rear Admiral Yang Yong-mo berkata, kedua-dua kapal perang berkenaan dalam siri jelajah ke 10 negara bermula 11 September lalu sehingga 18 Disember depan.

Katanya, pangkalan TLDM Kota Kinabalu adalah destinasi ke lapan kapal perang berkenaan yang membawa seramai 630 pegawai dan tentera laut negara itu.

“Kami sangat terharu dan gembira dengan sambutan oleh pihak tentera laut di negara ini. Ini adalah kali 23 lawatan kapal perang kami di Malaysia tetapi pertama kali di Markas Pemerintahan Armada Timur.

“Sepanjang lawatan ini, kami juga akan menjalankan latihan bersepadu bersama pasukan TLDM selain perbincangan bersama untuk memperkukuhkan lagi kebolehan serta kemampuan pertahanan kedua-dua negara,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 4:39 PM
Kapal perang milik Tentera Laut Republik Korea, Kang Gam Chan DDH-979 berlabuh di jeti operasi TLDM Sepanggar dalam siri jelajah ke 10 negara bermula 11 September sehingga 18 Disember. FOTO Mohd Adam Arinin