Kalidevi Mogan Kumarappa dan Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my


TIDAK sampai dua hari Harian Metro mendedahkan kegiatan ‘ulat’ Bangla, pihak Jabatan Imigresen Kuala Lumpur menggempur serta merta lokasi yang menjadi tumpuan lelaki Bangladesh terbabit.

Dalam operasi bermula 9 pagi itu, seorang pegawai dan tujuh anggota dengan diketuai Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Imigresen Malaysia Kuala Lumpur (JIMKL), Mohd Abdul Fared Abdul Rahman berjaya menahan tujuh lelaki Bangladesh berusia antara 28 hingga 45 tahun di hadapan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Wisma HRIH Lotus, Jalan Pahang, semalam.

Jurucakap JIMKL berkata, sebelum melakukan serbuan, pasukan itu melakukan risikan lebih awal mengenai modus operandi ‘ulat’ Bangladesh yang mensasarkan rakyat senegaranya.

Katanya, ketika membuat penyamaran, mereka mendapati ada ‘ulat’ yang melakukan tawar menawar dengan rakan senegaranya termasuk mengenakan bayaran untuk mengisi borang selain menguruskan permit dan dokumen lain secara haram.

"Selepas dibuat tangkapan kami mendapati lima daripadanya memiliki pas lawatan kerja sementara untuk bekerja sebagai pekebun, pekerja pembersihan dan buruh kasar.

"Dua lagi memiliki e-kad dalam sektor pembinaan yang nyata semua mereka bekerja sebagai ‘ulat’ dengan menyalahgunakan permit kerja masing-masing," katanya kepada Harian Metro.

Berdasarkan pengakuan setiap lelaki warga asing yang ditahan, mereka mengambil upah antara RM25 hingga RM30 untuk setiap urusan.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan mengenai kegiatan ulat Bangla yang mampu mengaut keuntungan antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan dengan menjadi ejen atau ulat menguruskan permit kerja dan dokumen perjalanan rakyat senegaranya.

Kebanyakan suspek menyalahgunakan permit kerja mereka untuk bekerja sebagai ejen yang menguruskan permit, visa, pasport dan pas perjalanan rakyat Bangladesh.

Berdasarkan tinjauan, seorang mampu mengaut keuntungan antara RM250 dan RM500 dengan anggaran lima ke 10 pelanggan sehari.

Harian Metro juga mendapati terdapat sekurang-kurangnya 15 ‘ulat’ pada satu-satu masa di sekitar pejabat berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 3:41 PM
Keratan muka depan Harian Metro kelmarin.