ANTARA laporan yang pernah disiarkan oleh portal Harian Metro
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


MAHKAMAH Majistret Kajang, hari ini, menangguhkan ke 22 Disember untuk sebutan semula kes Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Muhamad Yusof Azmi dan Ketua Operasi Unit Tindakan Khas PPIM, Ali Salimin.

Kedua-duanya didakwa melakukan khianat memotong kunci pagar dan menceroboh Stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn Bhd, Julai lalu.

Ia berikutan terdapat dokumen yang masih belum lengkap untuk pihak pendakwaan menyerahkan kepada peguam kedua-dua tertuduh.

Oleh itu, Majistret Nor Afidah Idris membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Tharih Afendi untuk menangguhkan kes itu.

Yusuf, 27 dan Ali, 50, hadir diwakili peguam Mohd Fadhly Yaacob.

Sebelum ini, kedua-dua tertuduh tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.

Yusuf dan Ali didakwa bersubahat melakukan perbuatan khianat dengan memotong kunci pagar stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn Bhd.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn Bhd, Lot 1926A, Sungai Sikamat, Jalab Cheras Batu 13, Kajang pada 3.30 petang, 10 Julai lalu.

Bagi perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula mereka didakwa dengan niat bersama melakukan pencerobohan jenayah di tempat yang sama, antara 3.30 petang sehingga 7.30 malam, hari sama.

Bagi perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mereka dibebaskan masing-masing dengan jaminan RM5,000.

Berita berkaitan

'Wira' PPIM didakwa

Yusof, Ali dituduh khianat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 3:31 PM