Idris Musa
idris@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Buat kali pertama, Balai Seni Negara menganjurkan pameran seni visual berskala besar Kuala Lumpur Biennale (KL Biennale) 2017 dengan menampilkan 114 pelukis tempatan dan antarabangsa termasuk pelukis tanah air yang menetap di luar negara.

Ketua Pengarah Balai Seni Negara Prof Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata, sempena pameran itu semua tujuh galeri dan ruang lobi digunakan pihaknya bagi mempamerkan karya seni pelukis terbabit kepada khalayak.

Menurutnya, hasil seni itu dihimpunkan di bawah satu tema berasaskan kemampanan iaitu Belas yang terbahagi kepada lima tonggak membabitkan Belas Haiwan, Belas Insan, Belas Warisan, Belas Alam dan Belas Kerohanian.

PAMERAN KL Biennale 2017 di Balai Seni Negara berlangsung sehingga 31 Mac depan.

“Belas dalam konteks ini boleh disama erti dengan prihatin, kasih, kasihan, simpati dan sayang,” katanya pada majlis perasmian pameran itu yang disempurnakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara Datuk Seri Farid Ridzuan dan Pengerusi KL Biennale 2017 Johan Ishak.

Pameran biennale merujuk kepada pameran antarabangsa skala besar yang mempamerkan karya seni kontemporari. Perkataan itu mula digunakan pada 1895 oleh kota Venice yang mempopularkan penganjuran pameran melalui Venice Biennale.

KL Biennale berlangsung selama lima bulan dari 1 November lalu hingga 31 Mac 2018. Antara pengkarya seni prolifik yang diangkat kali ini adalah Awang Damit Ahmad, Sharmiza Abu Hassan, Bibi Chew Chon dan Ahmad Zakii Anwar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 7:55 AM
PAMERAN KL Biennale 2017 di Balai Seni Negara berlangsung sehingga 31 Mac depan.