KEADAAN lori bawa muatan minyak sawit yang terbakar selepas terbabit kemalangan.
Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my

Rompin: Seorang pemandu lori melecur teruk apabila kenderaan berat membawa muatan minyak sawit dipandunya terbabas melanggar tebing bukit dan terbakar di Kilometer 140.8, Jalan Kuantan-Seremban, dekat Bukit Serok, Muadzam Shah di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, M Sivakumar, 44, berasal dari Taman Seri Ku, Jalan Gambang, Kuantan, dikejarkan ke Hospital Muadzam Shah (HMS) di sini, sebelum dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTA), Kuantan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azly Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa yang berseorangan tanpa kelindan dalam perjalanan ke Seremban dari Kuantan untuk menghantar minyak sawit.

“Ketika tiba di tempat kejadian, lori dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar tebing bukit sebelum terbalik melintang jalan menyebabkan sebahagian minyak yang dibawanya tumpah di atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu melecur keseluruhan badan namun menyelamatkan diri dan meminta bantuan pengguna jalan raya lalu dikejarkan ke HMS untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah tiba di tempat kejadian mengambil masa setengah jam memadamkan kebakaran kenderaan berat itu.

Menurutnya, pada masa sama Roadcare (M) Sdn Bhd menggunakan habuk kayu untuk ditabur pada minyak yang tumpah di permukaan jalan.

“Polis belum mengambil keterangan berhubung kejadian itu daripada mangsa yang masih tidak sedarkan diri menerima rawatan di HTAA.

“Kes diklasifikasikan mengikut RULE 10 LN 166/59 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 5:32 AM