JALIL (tiga dari kanan) bersama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Star Media Berhad Datuk Calvin Kan (tiga dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif MCIL Multimedia Sdn Bhd Keu Tien Siong (kanan), Timbalan Pengarang merangkap Ketua Digital The China Press Berhad Loh Yee Wei (dua dari kiri), Pengarang Eksekutif Utusan Media Mohd Yazid Ahmad (kiri) dan Ketua Pegawai Komersial The Edge Sharon Teh selepas menandatangani MoU MPPM di Balai Berita Bangsar, semalam.
Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lima syarikat penerbitan utama Malaysia menjalin kerjasama untuk membentuk konsortium bagi menawarkan platform pengiklanan lebih selamat, telus dan mencapai jangkauan pasaran lebih meluas.

Konsortium berkenaan yang dikenali sebagai Malaysia Premium Publishers Marketplace (MPPM) menjangkakan untuk menawarkan platform pengiklanan integrasi menjelang Februari tahun depan.

Pengerusi Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA), Datuk Abdul Jalil Hamid berkata, MPPM berfungsi sebagai penyedia platform untuk syarikat atau agensi yang memerlukan ruang iklan lebih berkesan.

“Melalui platform yang disediakan, pengiklan berpeluang mendapatkan ruang iklan secara digital yang lebih telus dan selamat.

“Ini kerana melalui mekanisme sedia ada, ada ketikanya pengiklan tidak mengetahui di manakah iklan mereka akan dipaparkan yang seterusnya memberi imej kurang baik untuk jenama mereka sendiri sekiranya ia muncul di laman web yang kurang sesuai,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara lima syarikat penerbitan utama Malaysia di sini, semalam.

Lima syarikat berkenaan adalah Media Prima Berhad, Star Media Group Berhad, Utusan Malaysia Berhad, Media Chinese International Limited (MCIL) Mutimedia Sdn Bhd dan The Edge Communications Sdn Bhd.

Melalui konsortium yang disertai lima syarikat ini, pengiklan berpeluang untuk mendapatkan akses ruang pengiklanan di sekurang-kurangnya 11 tajuk utama dalam talian iaitu Harian Metro, Berita Harian, New Straits Times, The Star Online, The Edge, Utusan Malaysia, Kosmo, Sin Chew Daily, China Press, Nanyang Daily dan Guang Ming Daily.

Abdul Jalil yang juga Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) berkata, untuk peringkat awal, MPPM menyasarkan syarikat penerbitan dalam talian utama bagi memulakan inisiatif berkenaan dan mengalu-alukan lebih banyak penyertaan pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 5:20 AM