ANTARA mercun yang dirampas polis.
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak rampas pelbagai jenis bunga api dan mercun yang dianggarkan bernilai RM1 juta di kawasan lapang di Kilometer 41, Jalan Medamit, Limbang, Selasa lalu.

Dalam operasi kira-kira 8 pagi itu, bunga api dan mercun berkenaan ditemui disorokkan di dalam enam kontena di kawasan berkenaan.

Komandernya, Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman berkata, serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Risikan PPM dari Kuching, Bintulu dan Limbang selepas maklumat mengenai kontena itu diperoleh.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati semua kontena di kawasan lapang berkenaan mengandungi bunga api dan mercun yang diseludup ke daerah ini.

"Pelbagai jenis bunga api dan mercun disimpan di dalam kontena yang ditemui dipercayai untuk dijual di daerah ini dan daerah berhampiran.

"Polis percaya sindiket ini membawa masuk barang larangan ini lebih awal untuk dijual sebagai persediaan untuk sambutan Tahun Baru dan beberapa perayaan lain tidak lama lagi," katanya.

Beliau berkata, rampasan ini adalah yang kedua dilakukan PPM Wilayah Lima Sarawak selepas operasi pertama yang merampas bunga api dan mercun di kawasan bekas kilang batu bata bernilai RM1.5 juta.

Salehuddin berkata, tiada tangkapan dilakukan kerana pemantauan di lokasi berkenaan selama beberapa jam mendapati tiada individu yang datang untuk mengambil bunga api dan mercun dari kontena.

Katanya, polis akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu yang terbabit dalam aktiviti pengedaran bahan terlarang berkenaan.

"Ini adalah kejayaan kedua selepas rampasan pertama minggu lalu. Polis akan terus menggiatkan operasi bagi mengesan aktiviti menurunkan kontena di dermaga haram bagi mengelakkan cukai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 3:57 PM