Antara penagih yang ditahan dalam Op Sarang di Felda Pasoh Satu, Jelebu. FOTO ihsan polis
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


LULUH hati seorang ibu apabila mengetahui anaknya yang berjanji tidak mahu mengambil dadah, ditangkap polis dalam serbuan Op Sarang di Felda Pasoh Satu, Jelebu, semalam.

Wanita berusia 60-an itu menangis sebaik mengetahui anaknya yang berusia 30-an itu positif dadah dan masih menagih lagi.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek antara 12 penagih yang ditahan dalam serbuan bermula 2 hingga 10 pagi.

Menurutnya, polis memeriksa 23 rumah di kawasan tanah rancangan itu untuk mengesan penagih.

“Ada antara suspek cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis dengan hanya memakai seluar pendek dan tidak berbaju. Namun, berjaya ditahan.

“Kita merampas 1.7 gram heroin daripada seorang suspek yang dipercayai tokan dadah,” katanya hari ini.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 2:06 PM