Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh anggota bomba. FOTO ihsan bomba
Recqueal Raimi
hmkk@hmetro.com.my


DUA wanita dan seorang lelaki parah apabila bas mini dinaiki terbabas dan merempuh pokok di Jalan Tuaran, berhampiran Chan Furniture, Manggatal, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi, dua mangsa wanita berkenaan dipercayai penumpang manakala mangsa lelaki adalah pemandu kenderaan terbabit.

Bagaimanapun identiti mereka masih belum dapat dipastikan lagi.

Difahamkan, sebelum kejadian, bas mini Toyota Hiace itu dalam perjalanan dari arah Tuaran menghala ke pekan Manggatal.

Sebaik tiba di lokasi, pemandu bas terbabit dipercayai hilang kawalan lalu kenderaan itu merempuh pokok di pembahagi jalan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lintas Hasrulnizam Zain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 9.09 pagi.

Beliau berkata, susulan itu, dua jentera dengan kekuatan sembilan anggota bomba dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, anggota bomba mendapati seorang lelaki tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan dua wanita yang juga penumpang parah," katanya.

Menurutnya, pihaknya mengeluarkan dua mangsa yang parah sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk rawatan lanjut.

"Pemandu kenderaan terbabit pula dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas," katanya.

Hasrulnizam berkata, operasi turut mendapat bantuan daripada pelbagai agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 1:35 PM