Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


KAKITANGAN Agensi Anti Dadah Kebangsaan Tanah Merah yang disyaki menerima suapan RM500 direman selama tujuh hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret, Kota Bharu, hari ini.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Nor Faizah Abdullah.

Suspek tiba di perkarangan Mahkamah Kota Bharu pada 10 pagi dengan diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Shamsudin Yusof berkata, lelaki itu direman tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan.

"Lelaki itu ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

"Dia ditahan di bandar Tanah Merah pada 5.35 petang semalam selepas disyaki menerima suapan RM500 sebagai balasan menyelesaikan waran tangkapan selepas seorang lelaki gagal dalam ujian saringan air kencing yang didapati positif dadah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 12:54 PM
Suspek (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret, Kota Bharu untuk mendapatkan perintah reman. FOTO Zaman Huri Isa