Seramai 56,584 (13.4 peratus) murid dikategorikan sebagai berisiko berat berlebihan.
Hayati Ibrahim dan Mohd Nasif Badruddin dan Mohd Husni Mohd Noor
am@hmetro.com.my

SERAMAI 58,294 (13.8 peratus) murid mempunyai berat badan berlebihan manakala 268,314 atau 63.4 peratus murid tahun enam mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) normal.

Itu antara dapatan yang diperolehi dalam Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2017 yang diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin hari ini.

Selain itu, seramai 56,584 (13.4 peratus) murid dikategorikan sebagai berisiko berat berlebihan dan 40,347 (9.5 peratus) murid mempunyai kurang berat.

Amin berkata, data itu diperolehi melalui komponen Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) yang dilakukan terhadap murid tahun enam tahun ini.

Bagi ujian Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) pula menunjukkan seramai 398,987 atau 92.2 peratus murid melepasi tahap kecergasan fizikal memuaskan iaitu 189,929 (43.9 peratus) murid berada pada tahap Cergas, 168,101 (38.8 peratus) Kecergasan Tinggi dan 40,957 (9.5 peratus) Kecergasan Sangat Tinggi.

"Sementara itu, 27,031 (6.2 peratus) murid berada pada tahap Kurang Cergas dan 3,644 (0.8 peratus) Tidak Cergas.

"Manakala 3,259 (0.8 peratus) murid dikecualikan daripada menjalani ujian SEGAK disebabkan masalah kesihatan yang disahkan pegawai perubatan," katanya dalam sidang media Pengumuman Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) 2017 di Kementerian Pendidikan, Putrajaya hari ini.

Amin berkata, seramai 24,612 (5.6 peratus) murid menunjukkan tahap pembabitan dalam aktiviti kokurikulum yang sangat aktif, komited dan menunjukkan potensi diri yang tinggi dalam aktiviti disertai.

Sementara, murid yang aktif, komited dan menunjukkan minat yang memuaskan dalam aktiviti yang disertai dalam aktiviti yang disertai adalah seramai 302,018 (68.9 peratus) manakala pembabitan dan ko kurikulum pada tahap memuaskan adalah 100,331 (22.9 peratus).

Dari segi Inventori Kecerdasan Pelbagai (IKeP) bagi pentaksiran psikometrik yang ditadbir kepada semua murid tahun enam pada Julai lalu menunjukkan peratusan kecenderungan murid tinggi iaitu eksistensial (77.7 peratus), intrapersonal (77.3 peratus), interpersonal (68.9 peratus), naturalistik (63.2 peratus), kinestetik (54.4 peratus), logik matematik (50.3 peratus) dan visual ruang (43.4 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 10:57 AM