Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

Putrajaya : Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) yang mengandungi komponen Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) dan pentaksiran kokurikulum bukan perkara baru diperkenalkan Kementerian Pendidikan sebaliknya ia sudah dilaksanakan sejak tahun 2008.

Bagaimanapun, buat pertama kalinya tahun ini, kementerian memutuskan untuk menyerahkan keputusan SEGAK dan pentaksiran kokurikulum bersama dengan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi) kepada calon UPSR hari ini.

Ini bermakna, setiap calon UPSR yang akan mengambil keputusan peperiksaannya hari ini akan menerima empat salinan keputusan iaitu UPSR, PAJSK yang mengandungi keputusan SEGAK dan pentaksiran kokurikulum, PBD dan PPsi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Mohd Rashid Mean berkata, mulai tahun ini, setiap calon UPSR akan menerima Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah yang mengandungi keputusan empat komponen pentaksiran berkenaan.

Beliau berkata, pelaporan itu memprofilkan pencapaian holistik murid dalam aspek sukan, kokurikulum, status kecergasan dan status indeks jisim badan (BMI) mereka, sekali gus menggambarkan perkembangan sebenar anak-anak sepanjang belajar di sekolah rendah termasuk melihat kemenjadian mereka bermula sejak Tahun 1 hingga 6.

“Bagaimanapun, bagi murid berkeperluan khas (MBK) yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan Khas (LD) pula, mereka akan menerima keputusan PBD, pentaksiran kurikulum, Pentaksiran Alternatif Sekolah Rendah (PASR) dan PPsi,” katanya pada sidang media, di sini.

Katanya, keputusan SEGAK dan pentaksiran kokurikulum penting untuk murid yang ingin memasuki sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana kedua-dua keputusan itu diambil kira untuk kemasukan ke sekolah berkenaan.

Mohd Rashid berkata, beliau tidak pasti pembahagian dan pemberatan markah berkenaan, namun ia terpulang kepada pihak SBP dan MRSM.

Menurutnya, bagi pelajar lain yang menyambung pelajaran di sekolah menengah harian pula, keputusan PAJSK membantu pihak sekolah menentukan hala tuju murid dalam bidang kokurikulum di peringkat sekolah menengah.

“Pentaksiran kokurikulum akan menggambarkan pencapaian pembabitan pelajar dalam pasukan badan beruniform, kelab/persatuan dan sukan/ permainan, manakala SEGAK pula mengukur tahap kecergasan pelajar,” katanya.

Katanya, SEGAK mengandungi lima set ujian, iaitu pengiraan BMI, ujian naik turun bangku selama tiga minit, ujian tekan tubi, ujian ringkuk tubi separa dan ujian jangkauan melunjur.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Kokurikulum Kementerian Pendidikan Kamariah Mohd Yassin berkata, dalam salinan keputusan yang diterima murid, SEGAK akan memaparkan empat bahagian iaitu keputusan ujian kecergasan bagi bulan Mac dan Ogos serta keputusan BMI bagi Mac dan Ogos.

“Manakala, bagi keputusan pentaksiran kurikulum pula, salinan keputusan akan memaparkan purata nilai gred kumulatif (CGPA) bagi Tahun 4, 5 dan 6 membabitkan pembabitan, penyertaan dan prestasi murid dalam pasukan badan beruniform, kelab/persatuan dan sukan/permainan.

“Markah tambahan akan diberikan kepada murid yang mempunyai kurikulum tambahan sama ada dalam bidang perkhidmatan, anugerah khas, khidmat masyarakat, Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) dan tugas-tugas khas,” katanya.

Selain itu, katanya, markah turut diberikan sekiranya murid berkenaan memegang jawatan utama dalam tiga komponen kurikulum berkenaan selain pemberian markah untuk aspek komitmen, khidmat sumbangan, kehadiran dan pencapaian.

Kamariah berkata, murid yang dikategorikan sebagai A, adalah seorang murid yang sangat aktif, komited dan menunjukkan prestasi diri yang tinggi dalam aktiviti yang disertai, B pula adalah murid yang aktif, komited dan menunjukkan minat yang memuaskan dalam aktiviti disertai, C pula menggambarkan pembabitan dan penyertaan murid dalam aktiviti yang disertai adalah memuaskan.

Manakala, bagi kategori D pula, murid kurang dan tidak menunjukkan kesungguhan dalam aktiviti yang disertai dan kategori E pula menggambarkan pembabitan dan tahap pencapaian murid tidak memuaskan dalam aktiviti yang disertai selain TL pula menunjukkan murid tidak melaksanakan aktiviti (Dikecualikan).

Sementara itu, katanya, bagi SEGAK pula, murid yang mendapat gred A dengan jumlah skor 18 hingga 20 markah diberikan penarafan lima bintang serta dikategorikan sebagai kecergasan sangat tinggi, markah 15 hingga 17 pula diberikan gred B dan empat bintang selain dikategorikan kecergasan tinggi, markah 12 hingga 14 pula diberikan gred C dengan tiga bintang serta dikelaskan dalam tahap cergas.

Manakala, bagi yang mendapat lapan hingga 11 markah pula, gred diberikan adalah D dengan penarafan dua bintang serta dikategorikan sebagai kurang cergas. Bagi yang mendapat empat hingga tujuh pula, mereka diberikan penarafan satu bintang dan dikategorikan tidak cergas.

Bagi yang tiada markah pula, gred yang diberikan adalah F dan tiada bintang diberikan selain dikategorikan sebagai tidak melengkapkan ujian SEGAK.

Dalam pada itu, Kamariah berkata, sejak tahun lalu, pihak kementerian sudah melaksanakan kursus mengenai pelaksanaan SEGAK dan pentaksiran kurikulum kepada sekolah, Sarana Ibu Bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

SEGAK mula dilaksanakan kepada murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5 berusia 10 hingga 17 tahun dan ia dilaksanakan secara wajib dua kali setahun iaitu pada Mac dan Ogos.

Pelaporan SEGAK memberi maklum balas kepada murid, guru, ibu bapa dan pihak berkepentingan mengenai tahap kecergasan fizikal murid.

Melalui maklum balas itu, tindakan susulan dapat dirancang dan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kecergasan fizikal seseorang murid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 7:36 AM