KHADIJAH (tengah) dan Alias (tiga dari kiri) pada penganugerahan APM Mike Nichols untuk Inspirasi 2017, kelmarin.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Unit Prestasi dan Pelaksanaan Pendidikan (PADU) meraih Anugerah Pengurusan Projek (APM) Mike Nichols untuk Inspirasi 2017.

Anugerah berkenaan disampaikan wakil Mike Nichols Foundation kepada Ketua Pegawai Eksekutif PADU Khadijah Abdullah dalam satu majlis berprestij tinggi di United Kingdom, kelmarin.

Pengiktirafan berkenaan adalah satu lagi pencapaian membanggakan apabila PADU dipilih sebagai pemenang dari kalangan peserta global yang hebat.

Antara pesaing pelbagai kategori anugerah APM ialah syarikat multinasional global seperti Royal Dutch Shell Plc, Kumpulan Perbankan Lloyds, Rolls-Royce, BAE Systems dan Fujitsu.

Menurut Ketua Setiausaha KPM Datuk Seri Alias Ahmad, pengiktirafan itu berdasarkan visi, inovasi dan diakui dalam menyampaikan perubahan transformasi pendidikan negara seterusnya memberi kesan positif berpanjangan demi kepentingan masyarakat.

“Kementerian ingin menyatakan rasa bangga kerana menerima anugerah ini yang membuktikan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) berada di landasan betul. Kami berterima kasih atas sokongan berterusan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menyumbang kepada penghargaan anugerah ini.

“PADU diiktiraf atas kesan transformasi PPPM yang juga satu dokumen kebangsaan diiktiraf badan terkenal dunia seperti Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) serta digunakan sebagai rujukan banyak negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 6:52 AM