Uh Al Teik mengaku bersalah membenarkan suami isteri warga Myanmar yang juga imigran haram tinggal dalam stor di kebun pisangnya. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


PADAH membenarkan suami isteri warga Myanmar yang juga imigran haram tinggal dalam stor di kebun pisangnya, seorang pekebun didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini.

Tertuduh, Uh Al Teik, 37, sebelum itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu dan disabitkan kesalahan oleh Hakim Najwa Che Mat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membenar dua warga Myanmar iaitu Maung Hla Win, 30, dan Htay Htay, 32, yang melanggar peruntukan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) untuk masuk dan tinggal di stor penyimpanan barang pertanian di kebun pisang beralamat di Kampung Panchor, Pokok Sena, pada 1.35 pagi, 17 Oktober lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 55E (1) akta sama, sabit kesalahan boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM30,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya untuk setiap imigran yang ditemui di premis.

Fakta kes menunjukkan sepasukan pegawai bahagian penguat kuasa Jabatan Imigresen Alor Setar menjalankan Ops Mega dan pemeriksaan di stor terbabit serta menemui dua imigran haram.

Hasil siasatan, tertuduh mengaku menguruskan kebun pisang itu bersama suami isteri Myanmar dan membayar gaji serta menyediakan tempat tinggal percuma kepada mereka.

Dalam penghakimannya Najwa mendenda tertuduh sebanyak RM6,000 atau dua bulan penjara jika gagal bagi setiap imigran. Ini bermakna tertuduh didenda keseluruhan RM12,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia, Raya Nurliyana Anuar manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 6:06 PM