Ahmad Fauzi (sembilan belas kanan) dan Wan Noraidah (empat belas kanan) bersama murid Sekolah Kebangsaan Jalan Air Panas, Kuala Lumpur. FOTO Salhani Ibrahim
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


RISIKO kemalangan, keselamatan dan pendedahan kepada gejala sosial dalam kalangan kanak-kanak boleh berlaku di mana saja dan usaha membanterasnya perlu dilakukan di peringkat sekolah.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) Wan Noraidah Wan Mohd Zain berkata, satu program berbentuk advokasi dan literasi undang-undang dikenali B.I.J.A.K : Safe And Protect diperkenalkan yang akan bergerak ke sekolah di seluruh negara untuk memberi pendedahan kepada murid.

Katanya, ia membolehkan kanak-kanak diberi pendedahan untuk mengelak daripada menjadi mangsa dengan mengetahui langkah keselamatan.

"Sejak 2014 lagi, kempen ini meliputi usaha untuk mencegah, mengelak atau membanteras kanak-kanak daripada menjadi mangsa kegiatan jenayah berupa pengabaian, penderaan dan eksploitasi dari aspek fizikal, seksual serta emosi.

"Ia adalah Strategi Lautan Biru bersama Jabatan Pendidikan, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (KKJR), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)," katanya pada Majlis Penutup Kempen Keselamatan Kanak-Kanak Sahabat Bijak Safe And Protect di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari.

Wan Noraidah berkata, selain itu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga melaksanakan pelbagai inisiatif membabitkan penggubalan dasar dan perundangan, penyediaan perkhidmatan sokongan dan pelaksanaan pelbagai program advokasi.

Menurutnya, ia termasuklah pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 yang kini dikenali Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016, Akta Kesalahan Jenayah-Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, perkhidmatan kaunseling, Talian Kasih 15999 dan penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak di Istana Kehakiman pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 5:04 PM