Anggota bomba memadamkan kebakaran kilang habuk kayu di Kampung Selamat, hari ini. FOTO ihsan bomba
Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my


EMPAT pekerja yang sedang memasukkan habuk kayu ke dalam guni bertempiaran lari apabila percikan api dari mesin menyambar habuk terbabit dalam kejadian di stor kilang proses habuk kayu di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, hari ini.

Dalam kejadian pada 12.05 tengah hari, empat pekerja itu sedang memasukkan habuk kayu ke dalam guni, bagaimanapun secara tiba-tiba percikan api dari mesin menyambar habuk kayu terbabit menyebabkan mereka bergegas menyelamatkan diri.

Pekerja yang enggan dikenali berkata, hanya dalam masa beberapa minit, api memusnahkan timbunan habuk kayu itu.

"Kilang ini tidak ramai pekerja dan beroperasi sejak lebih lima tahun lalu. Habuk kayu pula mudah terbakar tetapi sempat dikawal bomba," katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor diketuai Muhammad Hayazi Taib bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 12.13 tengah hari.

Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati timbunan habuk kayu sedang terbakar tetapi dapat dikawal dengan bantuan jentera dari Bertam, Prai serta pasukan bomba sukarela.

"Ada beberapa pekerja ketika kejadian, tetapi mereka sempat menyelamatkan diri manakala punca kejadian masih disiasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 4:47 PM