SYAHRIL (dua dari kiri) dan Mohd Rashid (tiga dari kiri) melihat Salbiah mencuba Honda Jazz yang diserahkan HMSB untuk pembelajaran pelajar PAV.
HM Digital

Alor Gajah: Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) menyerahkan Honda Jazz 1.5L bernilai lebih RM80,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin semalam untuk kegunaan pelajar Pendidikan Asas Vokasional (PAV).

Timbalan Presiden Kumpulan Pembuatan (HMSB) Syahril M Azmi berkata, pemberian kenderaan berteknologi terkini kepada sekolah terbabit bertujuan dijadikan bahan pembelajaran kepada anak yang akan mendokong kemajuan teknologi automotif negara.

“Selain sekolah ini, tiga lagi sekolah turut diamanahkan tiga kenderaan Honda iaitu kepada SMK Naning, Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zin dan Kolej Vokasional Melaka Tengah.

“Dengan penyerahan ini, diharap kami dapat meneruskan hubungan dua hala dengan pihak sekolah, sekali gus terjalin perkongsian teknologi dan latihan industri di sektor kami.

“Malah, wakil HMSB akan datang ke sekolah memberi latihan dan pembelajaran berkaitan teknologi Honda, khususnya kepada guru dan juga pelajar terbabit dalam masa terdekat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Honda Jazz 1.5L oleh HMSB di sekolah berkenaan yang dirasmikan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka Mohd Rashid Mohd Sidek.


SYAHRIL (kiri) menyerahkan kunci kereta Honda Jazz kepada Mohd Rashid.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu Datuk Sulaiman Md Ali, Pengetua SMK Sultan Alauddin Salbiah Ahmad dan Pengurus HMSB Mohammad Hisham Ismail.

Sementara itu, Mohd Rashid berkata, hubungan dengan Honda berupaya meningkatkan tahap pencapaian pelajar dalam bidang automotif.

“Kami mahu memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) yang dilihat mampu mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Dulu kemahiran teknikal dan vokasional dilihat sebagai pendidikan kelas kedua hingga menyebabkan ramai yang memilih untuk belajar daripada pengalaman semata-mata.

“Jadi, usaha sama ini diharap menjadi pendorong pelajar untuk lebih berjaya pada masa akan datang. Pelajar bukan saja berkemahiran dalam kereta tempatan, tapi juga teknologi antarabangsa,” katanya.

SMK Sultan Alauddin satu-satunya sekolah harian yang mempunyai mata pelajaran PAV Automotif yang dikhususkan kepada pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga yang akan mengambil Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua.

Sehingga kini, sekolah ini memiliki 52 pelajar PAV Automotif yang akan mempelajari teori dan amali berkaitan teknologi automotif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 3:55 AM