Ab Aziz menyampaikan cenderahati kepada mangsa kemalangan, Zakri Kamarudin, 37, ketika majlis Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia.
Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


KEMPEN mengurangkan kadar kemalangan jalan di negara ini gagal.

Perkara itu diakui sendiri Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi sambil menjelaskan kadar kemalangan semakin meningkat setiap tahun walaupun kerajaan melalui pelbagai agensi sudah melaksanakan banyak kempen, usaha dan advokasi.

Katanya, sejak 2003, angka kematian akibat kemalangan jalan raya tidak pernah kurang 6,000 kes, dan tahun lalu sahaja kadar kemalangan jalan raya mencecah 960,509 dengan jumlah kematian melepasi angka 7,000 kes buat pertama kali.

Malah, katanya sehingga September tahun ini kadar kematian sudah mencecah 5,038 kes.

"Kita sudah melaksanakan pelbagai program, kadar kemalangan bukan kurang, tetapi semakin bertambah. Jadi, apa yang dilakukan sebelum ini gagal, kita kena akui kita gagal dan kena mengambil kegagalan ini secara serius.

"Kita tidak mahu 2018, statistik kematian naik sehingga 8,000 kes," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia Peringkat Kebangsaan 2017 di Putrajaya, hari ini.

Mengikut pecahan, dari 960,509 kes kemalangan, motosikal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 670,935; kereta (135,121); lori (35,064); bas (9,462); teksi (8,399); van (14,470); pacuan empat roda (48,907) dan lain-lain (49,580).

Sementara kadar kemalangan mengikut jenis pelanggaran maut adalah bertembung (1,570); terbabas (1,850), langgar belakang (710), langgar sisi (959) dan bergesel (420) kes.

Sehubungan itu, Ab Aziz berkata, urus tadbir lebih baik menerusi pendekatan lebih menyeluruh dalam sistem pengangkutan negara perlu dilaksanakan untuk mencapai sasaran pengurangan kadar kemalangan sebanyak 50 peratus pada tahun 2020.

Katanya, agensi berkaitan termasuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh bekerjasama untuk membincangkan mengenai pendekatan ini secepat mungkin.

Malah, katanya, kerajaan perlu mewujudkan satu pendekatan pengawalan yang lebih ketat dalam sektor pengangkutan negara.

Menyedari hakikat itu, beliau berkata, Kementerian Pengangkutan sedang mencuba inisiatif berbeza menggunakan Strategi Lautan Biru untuk keselamatan jalan termasuk pendekatan berdasarkan hasil dan tempatan.

"Kementerian akan memilih kawasan yang mempunyai kadar kematian akibat kemalangan yang tinggi dan meminta pegawai tempatan untuk memahami keadaan semasa keselamatan jalan raya; mengenal pasti ciri tempatan yang mempengaruhi keselamatan jalan raya dan mengatur kerangka strategi untuk mencapai matlamat yang ditentukan bersama.

"Selain itu, meletakkan hasil yang ingin dicapai bagi membantu pencapaian matlamat serta mencadangan pencegahan dan aktiviti untuk membantu mencapai hasil yang diingini,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 4:33 PM