Affendi (tengah) bersama pegawai TUDM ketika lawatan dan pemeriksaan pesawat C130H di Pangkalan Udara Labuan, semalam.
Norasikin Daineh
am@hmetro.com.my


Labuan: “Kami ada dua pilihan untuk mendaratkan kapal yang ada masalah landing gear iaitu pertama, mendarat tanpa tayar dan C130H ada tiga tayar di hadapan, kiri dan kanan.

“Kedua, mendarat dengan satu tayar di depan dan dua tayar kiri dan kanan tiada. Saya ambil keputusan mendarat dengan pilihan kedua iaitu lebih selamat kerana ada satu tayar yang boleh kawal dan elak kesan lebih tinggi,” kata juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar Zul Helmie Zainuddin ketika menceritakan semula saat pesawat C130H TUDM melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan, kelmarin.

Difahamkan, pesawat berlepas jam 11.07 pagi namun 10 minit kemudian, ada masalah kegagalan untuk melakukan pendaratan secara normal.

Zul Helmie berkata, kejadian itu bermula ketika mereka melakukan latihan bagi meningkatkan tahap kecekapan anak kapal. Namun selepas enam jam mereka cuba menyelesaikan masalah, akhir sekali, disebabkan kekurangan minyak kira-kira satu jam, mereka membuat keputusan untuk mendarat tanpa gear pendaratan utama.

“Selaku kapten, saya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan latihan yang sepatutnya ke Kuching, Kota Kinabalu dan kembali semula ke Labuan.

“Saya membatalkan latihan dan berlegar-legar di sekitar Pulau Labuan untuk selesaikan masalah. Hasil kerjasama anak kapal, kami cuba selesaikannya mengikut prosedur dan tindakan sepatutnya mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya ketika ditemui pada sidang media TUDM bersama Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Affendi Buang di Pangkalan Udara Labuan di sini, semalam.

Menurut Zul Helmie, hasil kerjasama semua anak kapal mereka selamat mendarat dalam kejadian itu.

“Semua anak kapal berfikiran positif dan memberikan kerjasama yang diarahkan dan kami hadapi kecemasan itu dengan baik.

“Selain itu, pihak berkaitan banyak membantu termasuk pasukan bantuan Pangkalan Udara Labuan dan bomba TUDM. Tanpa bantuan mereka ia pasti sukar,” katanya.

Menurutnya, sebagai juruterbang mereka diberi latihan menghadapi situasi seperti itu menerusi latihan simulator.

“Menerusi latihan simulator, kami boleh buat apa saja keadaan seperti tanpa tayar, ribut dan sayap patah. Jadi kami gunakan pengalaman itu untuk situasi sebenar,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, pesawat C130H TUDM melakukan pendaratan cemas selepas mengalami masalah landing gear yang menyebabkan pesawat itu tidak dapat mendarat dengan normal.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas pesawat itu mendarat jam 5.29 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 12:31 PM