Dua maut motosikal ditunggang terbabas di Jalan Stutong, Kuching, awal pagi hari ini. FOTO ihsan PDRM
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


DUA lelaki maut akibat tercampak selepas motosikal yang ditunggang mereka terbabas di Jalan Stutong, Kuching, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 3.15 pagi itu, Muhammad Fairus Yussof, 21, dan Mhyrdon Ghypson Clement, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Deputi Superintendan Bingkok John berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang Mhyrdon hilang kawalan sebelum terbabas.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah tercampak beberapa meter ke bahu jalan.

"Pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan ternampak motosikal mangsa di tengah laluan manakala penunggang dan pembonceng terbaring berlumuran darah sebelum menghubungi polis.

"Berdasarkan laporan yang diterima, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching ke lokasi kejadian untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, pasukan perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS) yang dipanggil ke lokasi kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa maut.

Katanya, mangsa kemudiannya dibawa ke HUS bagi menjalankan bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 4:07 PM