Laman Herba SK Bukit Lintang, Kota Tinggi.
Taman Herba Pusat Transformasi Komuniti Universiti di Sekolah Kebangsaan Seri Sekinchan, Selangor.
HM Digital

Serdang: Konsep pertanian bandaran atau kebun bandar yang diperkenalkan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) kini diperluaskan ke seluruh negara.

Pegawai Pertanian (Pengembangan dan Keusahawanan), Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) Mahani Amat berkata, ekoran kejayaan projek pertama yang dilaksanakan di Pasir Gudang, Johor empat tahun lalu, UCTC UPM terus mengorak langkah menjalinkan lebih banyak kerjasama bagi menggalakkan orang ramai untuk menceburi pertanian menggunakan konsep moden berkenaan.

“Antaranya, mewujudkan Laman Pertanian Bandaran dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pasir Gudang dan Laman Herba dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lintang, Kota Tinggi.

“Selain itu, kami turut menjalankan pertanian bandar di 22 sekolah di Bagan Serai, Perak, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Serdang, Cyberjaya, dan dua sekolah di Sembrong, Johor.

“Terbaru, kami menjalankan projek komuniti Taman Herba dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Sri Sekinchan, Selangor bagi mendidik warga sekolah mengenai tumbuhan sayuran dan kepentingannya kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, UCTC sebelum ini dikenali sebagai Pusat Pengembangan, Keusahawanan dan Pemajuan Profesional (APEEC), iaitu entiti bawah UPM.

Ia bertanggungjawab memantapkan perkhidmatan perundingan dalam pelbagai bidang kepakaran seperti pembangunan komuniti, pengembangan pertanian, pembangunan keusahawanan serta pemajuan profesional.

Penubuhan UCTC adalah untuk menjadi penghubung selain mengurangkan jurang antara universiti awam dan komuniti setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 4:11 AM