TUN Abdul Taib (dua dari kiri) menyempurnakan Majlis Perasmian Jambatan Darul Hana di Tebingan Kuching pada 12 November lalu.
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

Kuching: Detik jam 11 malam 11 minit dan 11 saat pada 11 November lalu pasti menjadi kenangan kepada rakyat negeri ini apabila jambatan berbentuk S yang diberi nama Jambatan Darul Hana di Tebingan Sungai Sarawak dirasmikan dengan penuh gilang-gemilang.

Jambatan merentasi Sungai Sarawak sepanjang 335 meter bernilai RM350 juta itu kini secara rasminya menjadi ikon pelancongan terbaru di Bumi Kenyalang dirasmikan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud.

Sesuai dengan namanya Darul Hana yang membawa maksud suasana tenang dan damai, jambatan ini dianggap sebagai penghubung kepada Kuching Selatan dan Kuching Utara menawarkan pemandangan indah Sungai Sarawak.

Struktur binaan dengan dua kabel setinggi 45 meter daripada menara keluli dengan kecondongan 48 darjah membolehkan pelancong menyeberangi Sungai Sarawak untuk ke kawasan seberang bersebelahan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di Petra Jaya.

Pelancong dari Brunei, Nazri Wira Ali, 23, ternyata teruja selepas kunjungan kali kedua ke bandar raya ini disajikan dengan pemandangan jambatan yang begitu indah.


PELANCONG menyaksikan Jambatan Darul Hana yang merupakan ikon terbaru di bandaraya Kuching.

Menurutnya, sebagai pelancong, pembinaan jambatan berkenaan menjadi satu lagi mercu tanda bagi bandar raya Kuching dan Sarawak yang dapat merancakkan lagi sektor pelancongan.

“Saya teruja melihat reka bentuknya yang dilihat dari atas seperti huruf S. Reka bentuk moden ini sudah pasti menjadi pilihan pelancong untuk merakam kenangan apabila berkunjung ke sini (Kuching).

“Apa yang pasti, pembinaan jambatan ini membolehkan pelancong untuk menyeberangi Sungai Sarawak dengan melalui jambatan berkenaan selain masih boleh merasai pengalaman menaiki perahu penambang,” katanya yang menghabiskan tiga hari untuk melancong ke Kuching.

Bagi peniaga, Nur Aqidah Ismadi, 23, pembukaan Jambatan Darul Hana seakan-akan rahmat kepada perniagaan mainan yang diusahakannya sejak tiga tahun lalu.

Katanya, Tebingan Sungai Sarawak sememangnya menjadi tumpuan pelancong dan masyarakat setempat setiap hujung minggu berehat dan beriadah.

“Jambatan Darul Hana menerima sentuhan moden dari segi reka bentuknya dan boleh memperkenalkan Sarawak khususnya dalam sektor pelancongan.

“Apabila ada tarikan terbaru, sudah pasti rezeki peniaga sekitar juga bertambah dan ia memberi manfaat kepada banyak pihak.

“Orang ramai diharap dapat merasai keindahan pemandangan jambatan berkenaan untuk merakam gambar dan kenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 3:53 AM