PENDUDUK PPR Raya Permai bergotong-royong menanam tanaman di Taman Herba.
Siti Fatimah Hassan dan Fairul Asmaini Mohd Pilus
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jika di negara maju, konsep menanam sendiri sayuran di rumah menjadi satu kebiasaan dengan memanfaatkan sepenuhnya ruang yang terhad di rumah menerusi pelbagai kaedah dan teknik.

Daripada sekecil-kecil kawasan hingga seluas tanah lapang, aktiviti itu mampu mewujudkan landskap hijau indah selain memberi pulangan hasil segar untuk dinikmati.

Bagi sekumpulan 30 penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai di sini, usaha itu dilakukan sejak lebih dua tahun lalu apabila kawasan tanah rizab milik Indah Water Konsortium seluas 1.2 hektar yang sebelum ini terbiar, berubah wajah menjadi kebun kejiranan.

Bermula dengan kewujudan Taman Herba, ia kemudiannya berkembang menjadi kebun terdiri daripada lebih 20 tanaman sayur menerusi inisiatif Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21 KL) kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tidak siapa menyangka
di sebalik kepesatan pembangunan di ibu kota, terselit sebuah kawasan kebun kecil bersama taman herba yang menjadi tempat penduduk beriadah melakukan aktiviti bermanfaat.

Lebih 60 jenis herba disusun mengikut nama termasuk mahkota dewa, misai kucing, belalai gajah serta pokok rerama bertujuan memberi panduan dan pengetahuan kepada orang ramai.

Penyelia Taman Herba dan Kebun Kejiranan itu, Mohd Yusof Md Yatim berkata, kebanyakan penduduk yang mengusahakan kebun dan taman herba itu terdiri daripada mereka yang bekerja namun minat serta komitmen masing-masing menjadikan kawasan terbabit terus mekar sehingga ke hari ini.

Katanya, jika sebelum ini suasana muafakat dalam menjalankan aktiviti pertanian hanya boleh dilihat di kawasan pinggir bandar namun kini situasi itu berubah memandangkan masyarakat di bandar beralih kepada cara hidup yang hampir sama kerana menyedari kepentingan mengusahakan tanaman sendiri.


PEMILIHAN baja yang baik juga dititikberatkan.

“Dulu, persekitaran seperti ini hanya boleh dirasai di kawasan kampung apabila ramai mengusahakan tanaman sendiri. Kini, aktiviti mengusahakan kebun bandar semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat termasuk penduduk PPR Raya Permai.

“Jika mahu merasai suasana seperti di kampung, mereka hanya perlu datang ke sini saja. Selain melakukan aktiviti berkebun, ia menjadi tempat penduduk beriadah dan beristirahat,” katanya.

Menerusi bimbingan Universiti Putra Malaysia (UPM), sekumpulan penduduk terbabit mengusahakan tanaman secara bergilir membabitkan empat jenis tanaman iaitu sayuran kekacang, buah-buahan, umbisi dan ulam-ulaman selain sawi, bayam, kangkung, pokok cili, kunyit, pegaga, selom, kuchai, lengkuas, pandan, lidah buaya serta pisang.

Aktiviti berkebun bukan sekadar memberikan pulangan kepada mereka yang mengusahakannya, malah penduduk sekitar turut mendapat manfaatnya terutama dari segi penjimatan kos sara hidup.

Walaupun hasilnya mungkin tidak begitu banyak, tetapi penduduk berkenaan juga mampu menjana sedikit pendapatan daripada hasil jualan tanaman yang akhirnya digunakan untuk membeli benih serta baja.

Usaha mereka kini juga berkembang kepada penghasilan produk seperti kerepek bayam, air serai serta jus roselle yang dilihat mempunyai potensi untuk diusahakan secara kecil-kecilan.

Sementara itu, penduduk, Kamaruddin A Rahim, 56, berkata, kewujudan kebun bandar itu memberi kepuasan sebenar terhadap dirinya yang begitu minat mengusahakan tanaman.

Katanya, ketika ini, dia dan penduduk lain turut mencuba menanam tanaman lain seperti terung, petola, timun, peria selain buah tembikai dan tembikai susu.

“Alhamdulillah, tiga bulan lalu tanaman tembikai dan tembikai susu mula mengeluarkan hasil dan ia amat memberi kepuasan kepada kami.

“Selepas ini kami akan mencuba menambah beberapa lagi tanaman baru supaya ia lebih pelbagai kerana ia memberi banyak manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 November 2017 @ 3:42 AM