KEADAAN penunggang motosikal selepas merempuh lori berhenti. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@hmetro.com.my


PENUNGGANG motosikal maut selepas terlanggar lori yang berhenti di bahu jalan di Kilometer 15.1 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), dekat Damansara, petang tadi.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, mangsa Mohd Fauzi Ibrahim, 39, disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, siasatan awal mendapati lori berkenaan dari arah Damansara menghala Subang, berhenti di lorong kecemasan.

"Pemandunya lelaki berusia 62 tahun, berhenti kerana mahu menolong sebuah kenderaan rosak.

"Bagaimanapun, mangsa yang datang dari sama, tidak sempat mengelak lori dan terus melanggar bahagian belakang kenderaan berat itu," katanya.

Beliau berkata, hentaman kuat menyebabkan mangsa parah di beberapa bahagian badan selain motosikal juga remuk.

"Pasukan perubatan mengesahkan mangsa maut di lokasi sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

"Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1988," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 9:58 PM