Keratan kisah mengenai Mia yang ditemui berseorangan awal pagi semalam.
Mary Victoria Dass 
maryvictoria@hmetro.com.my

IBU bapa kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Mia yang ditemui berseorangan di hadapan kedai serbaneka di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor, awal pagi semalam menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), malam tadi.

Pelindung kanak-kanak JKM Johor Bahru Zaid Ikhwan Lim berkata, mereka menghubungi Rumah Kanak-Kanak Mini Ulu Tiram selepas kisahnya tular di media sosial.

Beliau berkata, mereka mengaku ibu bapa kanak-kanak dianggarkan berusia antara tiga hingga empat tahun itu.

Malah, bapa kanak-kanak itu tampil ke Rumah Kanak-kanak Mini Ulu Tiram malam tadi untuk mengunjunginya.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan tidak dibenarkan menemui kanak-kanak itu kerana pihaknya masih menjalankan siasatan berkaitan kes terbabit.

“Kanak-kanak itu bukan hiperaktif seperti didakwa di media sosial.

“Difahamkan ibu bapanya sudah berpisah namun siasatan masih dijalankan bagi mengetahui kejadian sebenar dan bagaimana kanak-kanak itu berseorangan di lokasi berkenaan pada awal pagi tanpa pengawasan dewasa,” katanya.

Zaid berkata, ibu bapa kanak-kanak itu saling menyalahkan antara satu sama lain atas kejadian berkenaan malah terdapat pelbagai cerita disebarkan berikutan kejadian itu.

“Ada yang mendakwa Mia hiperaktif dan bertindak keluar rumah ketika berada di bawah jagaan neneknya.

“Malah ada yang mendakwa dia dibawa keluar oleh anak pengasuhnya sebelum ditemui berseorangan. Terdapat pelbagai versi berkaitan kejadian menimpa Mia," katanya.

Zaid berkata, pihaknya tidak menafikan kejadian seumpama itu berlaku akibat kecuaian keluarga dan ia boleh menimbulkan masalah tidak diingini.

Pihaknya menasihati ibu bapa Mia hadir ke sesi perbincangan bersama unit kaunseling JKM, Ahad ini bagi membincangkan masa depan Mia.

“Ibu Mia didapati membuat laporan polis berkaitan kehilangan kanak-kanak itu selepas kisahnya tular di laman sosial.

“Kami tidak mengetahui punca ibu bapa Mia lewat bertindak.

“Mia kini dalam keadaan selamat dan ceria di Rumah Kanak-kanak Mini Ulu Tiram,” katanya.

Kanak-kanak berkenaan ditemui anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) pada 1.50 pagi semalam.

Kanak-kanak berkenaan ditemui tanpa pengawasan ibu bapa di hadapan kedai serbaneka di Jalan Padi 1, Bandar Baru Uda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 5:38 PM