Salehuddin (tiga dari kiri) menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas. FOTO Ihsan Polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak rampas mercun, bunga api dan minuman keras dianggarkan bernilai lebih RM1.5 juta di kilang batu bata di Medamit, Limbang, Rabu lalu.

Serbuan 1.30 tengah hari itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan PPM hasil risikan dan maklumat awam yang curiga dengan penemuan dua kontena di kawasan berkenaan.

Komandernya Asisten Komisioner Salehuddin Mat Zaman berkata, ketika serbuan, tiada individu di kawasan berkenaan dan pemeriksaan mendapati pelbagai jenis mercun, bunga api dan minuman keras pelbagai jenama dimuatkan di dalam dua kontena berkenaan.

Menurutnya, kontena berkenaan disorokkan di kilang batu bata yang tidak lagi beroperasi sejak beberapa tahun lalu menyebabkan orang awam curiga dengan aktiviti keluar masuk lori di kawasan itu.

“Keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM1.5 juta namun keseluruhan jumlah rampasan masih dalam siasatan memandangkan polis perlu mengambil masa untuk mengira barang yang dirampas.

“Polis percaya semua rampasan itu dibawa masuk ke daerah ini untuk pasaran tempatan dan daerah berhampiran. Bunga api dan mercun pula persediaan untuk dijual sempena tahun baru dan perayaan lain,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Salehuddin berkata, semua rampasan itu dipercayai dibawa masuk dari China namun didaratkan di dermaga haram bagi mengelak daripada dihidu pihak berkuasa.

Polis juga kini giat menyiasat pemilik tanah yang membenarkan sindiket berkenaan menyimpan barangan yang tidak dibayar cukai di premisnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 kerana tidak membayar cukai dan semua rampasan dibawa ke Markas PPM Limbang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 2:51 PM