GAMBAR hiasan
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


OPERATOR kilang dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas kesalahan memuat naik lukisan kartun yang mengaibkan Perdana Menteri, Oktober lalu.

Majistret Mohd Azali Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Hamizan Ghazali, 24, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

Hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 12 November lalu.

Mohamad Hamizan didakwa menggunakan nama profil Ieyzan Ghazali di laman sosial Facebook dan memuat naik gambar lukisan kartun bersifat jelik yang tertera perkataan mengaibkan Perdana Menteri.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Melati 2, Taman Paya Rumput Perdana, Melaka Tengah, Melaka, antara jam 12.01 tengah malam pada 20 Oktober dan 5.30 petang, 22 Oktober lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum Seksyen 233(3) akta sama (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 1:32 PM