Muhammad Mustakim Ramli
am@hmetro.com.my


Kangar: Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua rakan selepas didapati bersalah atas pertuduhan membunuh seorang lelaki pada September 2015.

Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman berkenaan di akhir kes pembelaan semalam terhadap Mohamad Jazree Jaafar, 25 dan Mohd Naim Man, 28, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Ketika hukuman dijatuhkan kedua-dua tertuduh tidak memberi sebarang reaksi dan kelihatan tenang di kandang pesalah.

Mengikut pertuduhan, mereka yang berasal dari Kuala Sanglang, Perlis, dituduh secara bersama membunuh A Bincharong, 23, di Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis di sini, antara jam 8 malam 10 September 2015 hingga jam 9 pagi 11 September 2015.

Mereka yang juga bekerja kampung didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Pada 12 September 2015, media melaporkan mayat Bincharong ditemui terapung dengan kedua-dua tangan diikat dengan tali jala di perairan Kuala Perlis berhampiran Sungai Kampung Tanah Baru.

Pendakwaan dilakukan Badius Zaman Ahmad, manakala Mohamad Jazree diwakili peguam Zamri Ibrahim dan Mohd Naim diwakili Zuhair Ahmad Zakuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 5:49 AM
ANGGOTA polis membawa dua lelaki yang dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kangar.