MOHAMAD Fazree diiringi anggota Jabatan Penjara Malaysia Sungai Udang sejurus dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, semalam.
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Melaka: Seorang lelaki memohon dipenjarakan kerana tidak mempunyai wang untuk membayar denda selepas mengaku bersalah memiliki MyKad milik seorang wanita Julai lalu di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Mohamad Fazree Abdullah, 30, dari Sungai Udang membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Norina Maludin selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mohamad Fazree didakwa memiliki kad pengenalan milik seorang wanita ketika pemeriksaan dilakukan anggota polis di Tampin, Negeri Sembilan jam 5.20 petang, 30 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun, denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas tertuduh dengan mengambil kira kejadian ragut yang mengancam keselamatan orang ramai.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Norina memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan dari tarikh dia ditangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 5:34 AM