Mohd Khairul (depan) didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar selepas mengaku bersalah terhadap sembilan pertuduhan mengabaikan waran tangkap atas pelbagai kesalahan trafik dari 2013 hingga 2015.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


SEORANG juruelektrik didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar selepas mengaku bersalah terhadap sembilan pertuduhan mengabaikan waran tangkap atas pelbagai kesalahan trafik dari 2013 hingga 2015.

Tertuduh Mohd Khairul Anuar Sabri, 20, dicekup dalam Ops Warta di Lebuh Raya Sultan Abd Halim, Alor Setar hari ini, didapati melakukan kesalahan berulang iaitu tiada lesen memandu, motosikal tidak mempunyai cukai jalan dan melanggar peraturan jalan raya.

Majistret Mohd Aizuddin Zolkeply dalam penghakimannya turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan 32 hari jika gagal membayar denda berkenaan.

Beliau turut menempelak tertuduh kerana mengingkari undang-undang dan tidak hadir ke mahkamah selepas menerima saman trafik.

"Kamu tidak hormat undang-undang, selepas kena saman pada 2013 sampai sekarang (masih) tidak buat lesen memandu. Kamu tidak hirau undang-undang," katanya.

Bagi kes pertama, Mohd Khairul dari Flet Simpang Kuala didakwa atas tiga pertuduhan iaitu menunggang motosikal KCW4896 tanpa lesen memandu, tiada cukai jalan dan tiada cermin pandang belakang.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pekan Rabu, di sini, pada 20 Jun 2013, kira-kira jam 3.15 petang dan dituduh mengikut Seksyen 26 (1), Seksyen 23 (1) dan Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333/87).

Kes kedua, dia juga didakwa atas tiga pertuduhan iaitu menunggang motosikal nombor KAB5563 di Jalan Putra, di sini, pada 24 Januari 2014, kira-kira jam 2.05 petang tanpa lesen memandu dan cukai jalan serta mengikut Seksyen 90 (1) APJ 1987 kerana motosikal tiada perlindungan insurans.

Kes keempat, Mohd Khairul didakwa menunggang motosikal nombor KDM2871 di Flat Simpang Kuala, tanpa memakai topi keledar dan tiada lesen memandu.

Mohd Khairul seterusnya melakukan kesalahan gagal mengawal motosikal nombor KDM2043 hingga kemalangan pada 11 Mac 2015, kira-kira jam 3.14 petang.

Bagi kesalahan tiada lesen memandu dia didenda antara RM600 hingga RM800 atau empat hingga 10 hari penjara jika gagal membayar.

Kesalahan lain pula dia didenda RM200 atau dua hari penjara jika gagal membayar bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Asisten Superintendan Sukmanengrat Johar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 10:34 PM