JAMBATAN Jalan Air Kudung Kampung Ulu Kenderong, Gerik ditutup kepada semua pengguna selepas berlaku hakisan tanah, tengah hari tadi. FOTO Ihsan PDRM
D J Dolasoh
am@hmetro.com.my


Jambatan Jalan Air Kudung yang menghubungkan Kampung Ulu Kenderong dengan Kampung Bendang Kerajaan, Gerik, rosak dan hampir runtuh menyebabkan kira-kira 1,000 pengguna terjejas, tengah hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, jambatan sepanjang 15 meter dan 3 meter lebar itu hampir runtuh disebabkan hakisan Sungai Air Kudung sejak musim hujan melanda daerah ini dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Ismail Che Isa berkata, kejadian itu berlaku selepas terjadi hakisan tebing tanah di bahagian kepala jambatan itu manakala tiang jambatan pula turut patah dan runtuh.

“Bagaimanapun, semasa kejadian berlaku tiada sebarang kenderaan atau pengguna yang melalui jalan berkenaan dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

“Siasatan awal mendapati punca jambatan berkenaan runtuh disebabkan berlaku hakisan tanah di sekitar jambatan disebabkan air sungai deras sejak dua minggu lalu,” katanya di sini, hari ini.

Ismail berkata, berikutan itu jambatan berkenaan ditutup kepada semua pengguna dari kedua-dua arah dan pihaknya mengambil tindakan dengan meletakkan papan tanda dan memasang tali premeter sebagai peringatan kepada orang ramai.

“Makluman mengenai kejadian itu juga telah diberikan kepada pihak Jabatan Kerjaraya (JKR) untuk diambil tindakan segera.

“Penduduk dinasihatkan supaya menggunakan jalan kampung lain untuk ke pekan Gerik dan sebaliknya, sehingga kerja membaik pulih jambatan itu selesai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 8:23 PM