ABDUL Jalil (tengah) menyaksikan serah terima tugas Dr Wan Ariffin (kiri) dan Borhan, semalam.
HM Digital

Melaka: Polis memburu tiga lelaki disyaki dalang sindiket judi dalam talian dan nombor ekor yang bersembunyi termasuk kerap menukar nombor telefon bagi mengelakkan lokasi mereka dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, semua suspek berusia 40 hingga 60 tahun itu disiasat mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

“Kami buka dua fail kes judi dalam talian dan satu (nombor) ekor untuk diletakkan di bawah POCA. Hasil risikan dijalankan kami yakin dapat kesan lokasi persembunyian dan tahan ketiga-tiga suspek ini tidak lama lagi.

“Sejak Januari hingga hari ini (semalam), sebanyak 39 kes disiasat mengikut POCA membabitkan jenayah kekerasan, curi motosikal, samun ragut, pecah kereta dan samun pacuan empat roda,” katanya ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam.

Abdul Jalil berkata, daripada 39 kes berkenaan, pihaknya sudah menahan 20 individu berusia 20 hingga 65 tahun membabitkan curi motosikal (10), samun ragut (4), curi kabel (3) dan masing-masing seorang suspek bagi kes pecah kereta, samun pacuan empat roda dan jenayah kekerasan.

Menurutnya, enam lagi suspek membabitkan kes samun (3), curi motosikal (2) dan samun ragut (1) sedang diburu bagi membantu melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan lanjut diambil.

“Sebenarnya undang-undang pencegahan lebih berkesan dalam usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengekang aktiviti jenayah dan keganasan daripada terus berlaku di negeri ini,” katanya.

Pada majlis sama, Abd Jalil turut menyaksikan serah terima tugas Ketua Cawangan Khas (KCK) negeri Datuk Dr Wan Ariffin Wan Ahmad kepada KCK baharu Asisten Komisioner Borhan Daud.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 5:20 AM