JAHARA (dua dari kanan) menyampaikan bantuan NCIA kepada mangsa banjir.
Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


Butterworth: “Belum lagi habis kemas semua barang ketika banjir September lalu, datang lagi banjir yang terus memusnahkan segala perabot dan barangan elektrik di rumah ini awal bulan ini,” kata ibu kepada enam anak, Siti Radiah Mohd Ismail, 40, semalam.

Menurutnya, dia yang menyewa rumah di Jalan Tunku Putra, Teluk Air Tawar, di sini, sejak sembilan tahun lalu sudah lali dengan kejadian banjir kilat kerap dilaluinya, namun terpaksa menetap di situ berikutan tidak berkemampuan mencari kediaman lain.

“Sewa bulanan rumah ini hanya RM220, tetapi agak berat juga memandangkan suami bekerja kampung, manakala saya pula mengambil upah mengurut orang untuk menyara enam anak berusia dua hingga 17 tahun yang masih kecil dan bersekolah.

“Di kawasan ini, jika hujan sudah pasti air naik kerana ia dekat dengan parit besar dan keadaan itu meresahkan hati saya bahkan tidak pernah tidur dengan tenang kerana takut apatah lagi memikirkan keselamatan anak,” katanya.


TIGA beradik mengusung tilam dan bantal baru yang diterima daripada ADUN Telok Air tawar.

Siti Radiah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid dan wakil Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ketika Program Kebajikan Bantuan Banjir, di sini, semalam.

Siti Radiah berkata, lebih menyulitkan apabila pemilik rumah memaklumkan mahu berhenti menyewakan kediaman itu hingga menyebabkan dia dan suami, Mahazir Musa,48, buntu.

“Sudahlah semua barangan rosak, kini pemilik rumah meminta kami mencari kediaman lain yang menyebabkan kami buntu apatah lagi sukar mencari rumah sewa dengan kadar sewa murah.

“Untuk menumpang di rumah keluarga buat sementara waktu takut menyusahkan mereka, lebih-lebih lagi keluarga kami ramai dan bimbang memberikan ketidakselesaan kepada keluarga lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 4:45 AM