GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


JABATAN Pertanian Negeri Kedah menganggarkan kerugian dialami sektor pertanian di negeri itu mencecah RM13 juta akibat bencana banjir awal bulan ini.

Pengarahnya, Mohamed Bukhori Abdul Rahman berkata, ia berikutan kerosakan pelbagai tanaman diusahakan petani termasuk padi, sayur-sayuran dan juga buah-buahan.

"Kita mengalami dua kali kejadian banjir pada kali ini iaitu pada September dan November.

"Bagaimanapun, kejadian banjir awal bulan lalu mencatatkan kerosakan yang ketara iaitu dalam anggaran awal RM13 juta berbanding RM1.3 juta pada September lalu," katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Penuaian dan Pusat Operasi Jagung Bijian Fasa Ke-3 Kampung Sungai Batu, Mukim Bujang di Sungai Petani, hari ini.


TIMBALAN Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan, (kiri) bersama Mohamed Bukhori (dua kiri) melihat tanaman jagung bijian. FOTO Nor Farhani Che Ad

Beliau berkata, antara lokasi yang paling teruk terjejas adalah di daerah Kuala Muda dan Kulim, kebanyakannya membabitkan tanaman padi.

Katanya, semua kawasan yang terjejas adalah di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Dalam pada itu, Mohamed Bukhori berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, minggu lalu bagi tindakan seterusnya.

"Dalam masa sama kita sedang meneliti jumlah kerugian sebenar serta jumlah petani yang terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 7:09 PM