ABD Halim (berdiri, dua kiri) melihat pelatih pusat pemulihan dadah melakukan kerja ketika lawatan ke Pusat Penyembuhan Rawatan dan Pemulihan Kampung Selamat. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my


AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan kadar pemulihan kekal pelatih yang keluar dari pusat rawatan mencecah 55 peratus dalam tempoh dua tahun pengawasan.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Dr Abdul Halim Mohd Hussin berkata, walaupun sasaran awal kadar pemulihan ialah 30 peratus, namun dalam tempoh pengawasan selama dua tahun selepas keluar dari pusat pemulihan, kadar pemulihan dijangka meningkat kepada 55 peratus.

Beliau berkata, kadar pemulihan yang tinggi turut bergantung pada dua pendekatan digunakan iaitu 'psycho spiritual' atau keagamaan dan 'psycho social'.

"Pendekatan keagamaan diakui kaedah terbaik untuk memulihkan penagih dan pada masa sama, pendekatan lain turut diterapkan seperti terapi vokasional agar pelatih mempunyai kemahiran tertentu selepas keluar pusat.

"Kemahiran atau keupayaan ekonomi pelatih selepas keluar pusat pemulihan juga penting kerana ia akan membantu pelatih kembali kepada masyarakat dan lebih penting penerimaan semula ahli keluarga," katanya selepas lawatan kerja ke Pusat Pemulihan Rawatan dan Perhatian (CCRC) Kampung Selamat, Tasek Gelugor, hari ini.

Ketika ini, terdapat 5,200 pelatih di 27 pusat pemulihan seluruh negara.

Abd Halim berkata, untuk melihat kadar pemulihan, pihaknya menggunakan indeks petunjuk atau CCRI iaitu pelatih diberi nilai pemulihan mengikut angka.

"Misalnya, pelatih yang diberi nilai mata sembilan atau 10 bermakna dia sedia untuk dibebaskan manakala pelatih diberi nilai lima ke bawah perlu menerima rawatan lanjut.

"Selain itu, tempoh hukuman (untuk rawatan) selama dua tahun boleh dipendekkan jika menunjukkan prestasi baik dari segi tingkah laku," katanya.

Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 6:43 PM