Siti Zabrina ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Port Dickson pada September 2015 sebelum kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Seremban. - Foto Fail
BERNAMA

MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini, menambah hukuman penjara kepada 15 tahun terhadap operator pengeluaran wanita yang didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat anak perempuan tirinya berumur empat tahun.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Mohtarudin Baki, Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Kamardin Hashim membenarkan rayuan pendakwaan yang memohon tempoh penjara lebih panjang terhadap Siti Zabrina Adin.

Hakim Mohtarudin yang mempengerusikan panel itu berkata hukuman penjara 10 tahun yang dijatuhi Mahkamah Tinggi Seremban terhadap Siti Zabrina pada 14 April tahun ini, tidak mencukupi.

Ketika mengetepikan hukuman penjara 10 tahun dan menggantikannya dengan penjara 15 tahun bermula dari tarikh penahanan Siti Zabrina pada 8 Ogos 2015, hakim mahkamah rayuan berkata rayuan pendakwaan itu mempunyai merit.

Siti Zabrina, 42, pada mulanya menghadapi tuduhan membunuh tetapi kemudian mengaku bersalah terhadap tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Nur Damia Amani Mohd Azam, empat tahun 11 bulan, di sebuah rumah di Taman Lukut Makmur, Lukut, Port Dickson, Negeri Sembilan antara 3.30 petang dan 5.15 petang 7 Ogos 2015.

Menurut fakta kes, tertuduh mengambil penyangkut baju dan memukul tangan serta kaki kanak-kanak itu selepas dia berang apabila anak tirinya tidak mahu makan, sebaliknya memberi makanan itu kepada kucing peliharaan, sebelum menyuruh Nur Damia mandi.

Dia sekali lagi memarahi Nur Damia kerana enggan mandi, tetapi kanak-kanak itu tidak memberi respons, hanya memandang Siti Zabrina mengakibatkan wanita itu semakin marah lalu menendang dada kanak-kanak itu sehingga tersandar ke dinding bilik.

Nur Damia kemudian ke bilik air untuk mandi namun Siti Zabrina bergegas ke bilik air selepas mendengar benda terjatuh dan mendapati kanak-kanak itu terbaring di kiri mangkuk tandas serta tidak bernafas.

Bapa kanak-kanak itu menghantarnya ke klinik namun disahkan meninggal dunia di klinik itu.

Laporan bedah siasat menunjukkan terdapat kesan luka lama dan baru pada mayat Nur Damia. Kecederaan pada dadanya menjadi punca kematiannya.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi menegaskan mahkamah perlu menambah tempoh hukuman penjara berikutan kecederaan yang terdapat pada kepala, dada dan perut selain patah tulang rusuk.

Peguam S Vasagarajan yang mewakili Siti Zabrin pula berhujah anak guamnya mengalami tekanan perasaan dan kemurungan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 6:59 PM