ABDUL AZEEZ (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan Misi Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir KP1M kepada Tajul Urus, (dua dari kiri) Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai di sini, semalam. FOTO NOR FARHANI CHE AD (1)
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


BANTUAN kemanusiaan Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) kepada 3,649 keluarga yang terjejas banjir baru-baru ini di tiga kawasan Parlimen di Kedah iaitu Merbok, Jerai dan Sungai Petani bakal diselesaikan selewat-lewatnya pada Januari tahun depan.

Presiden KP1M, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bantuan berupa set periuk, tilam, bantal dan keperluan asas berjumlah keseluruhan RM500 bagi setiap keluarga mangsa itu akan disalurkan secara berperingkat.

"Pada program hari ini kita salurkan bantuan kepada 200 daripada 949 keluarga di Parlimen Merbok. Bakinya (749 keluarga) serta 2,000 keluarga di Sungai Petani dan 700 di Parlimen Jerai akan menerima bantuan secara berperingkat selewat-lewatnya Januari depan.

"Selain itu, mangsa banjir di Parlimen Kulim dan Baling sudah menerima bantuan masing-masing sebelum ini.

"Kita akan berikan mengikut permintaan tetapi kita tak dapat sediakan sekali gus kerana kita perlu masa sebab stok (barangan) dah habis memandangkan musim banjir kali ini banyak yang kena banjir dan saya sudah arahkan kilang untuk uruskan dan mereka tengah siapkan permohonan bagi mengeluarkan stok bantuan," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 200 mangsa banjir di Parlimen Merbok di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai di sini, hari ini.

Sementara itu Abdul Azeez menegaskan Misi Bantuan Kemanusiaan Mangsa Banjir KP1M akan terus disalurkan kepada mangsa banjir tanpa mengira fahaman politik.

"Misi bantuan ini membuktikan kerajaan sentiasa mendahulukan rakyat bukannya sekadar retorik.

"Bila kita turun melaksanakan misi bantuan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menasihatkan saya bantuan kebajikan ini adalah tanpa sempadan.

"Jadi misi ini adalah bantuan tanpa mengira warna kulit, agama, budaya dan fahaman politik," katanya.

Mengulas lanjut katanya, hal itu terbukti apabila 10,000 keluarga di 13 Parlimen terjejas banjir di Pulau Pinang dibantu meskipun Barisan Nasional (BN) kalah di kawasan yang dibantu.

Abdul Azeez yang juga ahli Parlimen Baling berkata, sehingga kini pihaknya masih menerima permintaan membantu mangsa banjir di Pulau Pinang seperti di kawasan Kepala Batas dan Jelutong.

"Jadi usaha ini akan berterusan untuk bantu rakyat Malaysia dalam konteks pasca banjir, inilah yang kita uruskan seperti mana arahan Datuk Seri Najib yang minta KP1M untuk pergi meninjau tempat yang kena banjir bagi bantuan pasca banjir," katanya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 8:54 PM