Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


TAKTIK polis mengepung semua laluan di Jalan Jelapang ke Silibin, Ipoh, dalam Ops Lumba Haram, awal pagi, membuatkan 131 mat rempit hilang arah.

Kesemua mereka yang ditahan dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu membabitkan 116 lelaki dan 15 wanita berusia 15-50 tahun.

Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata ujian air kencing dijalankan terhadap kesemua individu mendapati sembilan daripadanya positif dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, saman atas dikeluarkan terhadap kesemua yang ditahan itu antaranya tiada lesen dan cukai jalan, langgar lampu isyarat dan nombor plat tidak mengikut peraturan.

“Daripada jumlah yang ditahan itu, seorang lelaki turut ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu.

“Kesemua yang ditahan kecuali yang positif dadah dan kesalahan memandu secara melulu akan dibebaskan selepas saman dikeluarkan," katanya dalam sidang media di Unit Penguatkuasaan Trafik IPD Ipoh, hari ini.

Mohd Ali berkata, pihaknya akan menjalankan operasi seperti itu pada setiap minggu bagi mengekang aktiviti lumba haram dalam kalangan remaja di bandaraya ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 12:30 PM
KETUA Polis Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby (dua kiri) bersama Timbalan Ketua Polis Ipoh, Superintendan Abdul Rani Alias (empat kanan) menunjukkan motosikal yang ditahan dalam Ops Lumba Haram awal pagi di Jalan Jelapang ke Silibin, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya