BOMBA membawa turun budak lelaki, 9, yang cedera ketika mendaki Gunung Singai di Bau, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


BUDAK lelaki cedera ketika mendaki Gunung Singai di Bau, hari ini.

Brendon Maxclerence Janic, 9, memulakan pendakian gunung setinggi 560 meter itu bersama beberapa ahli keluarga kira-kira 10.30 pagi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan 11.24 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, bomba memulakan pendakian 11.50 pagi dan menemui mangsa 10 minit kemudian.

"Mangsa dipercayai terjatuh sehingga menyebabkan kecederaan pada punggung dan tidak mampu untuk turun ke kaki gunung bagi mendapatkan bantuan.

"Anggota bomba kemudiannya menggunakan pengusung sebelum membawa mangsa turun ke kawasan lapang di kaki gunung," katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak itu kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dihantar ke Hospital Bau bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Tambahnya, mangsa dipercayai tergelincir kerana laluan yang digunakan agak licin namun tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 6:28 PM