Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


SERAMAI 13 individu dipercayai dua kumpulan gangster ditahan selepas terbabit pergaduhan hingga berlaku kecederaan dalam kejadian di Batu Pahat, 9 November lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, semua suspek berusia 15 hingga 44 tahun itu terbabit pergaduhan berpunca dari perselisihan faham dalam kalangan mereka.

Katanya, tangkapan pertama membabitkan empat individu berusia 29 hingga 44 tahun pada 3.45 pagi bagi membantu siasatan kes itu.

"Pada 2 petang hari sama, sembilan suspek lain berusia 15 hingga 37 tahun ditahan di sekitar Batu Pahat bagi siasatan kes pergaduhan itu," katanya.

Beliau berkata, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana terbabit rusuhan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Katanya, Polis Johor tidak berkompromi dengan mana-mana orang atau kumpulan yang mencetuskan kekacauan dalam kalangan masyarakat.

"Polis akan menangkap sesiapa saja yang cuba menimbulkan kacau bilau di Johor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 12:02 PM