MANGSA ditemui lemas di dalam longkang.
HM Digital

Marudi: Misteri kehilangan seorang lelaki yang keluar menghadiri majlis pengkebumian rakannya Rabu lalu terjawab apabila dia pula ditemui mati pagi kelmarin, selepas motosikal dinaiki terbabas ke dalam longkang di Jalan Lubok Nibong, di sini.

Mayat Arin Majey, 48, ditemui orang awam jam 11.30 pagi dalam keadaan tertiarap dipercayai lemas dalam longkang berkenaan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri Deputi Superintendan Bingkok John berkata, siasatan mendapati mangsa keluar dari rumahnya di Rumah Philip Sebatang di sini, menunggang Honda EX, Rabu lalu.

Menurutnya, mangsa sepatutnya menghadiri majlis pengkebumian rakannya di Rumah Gudang, di sini, namun tidak muncul semula selepas itu.

Katanya, siasatan awal tidak menolak kemungkinan mangsa gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas dan terjunam ke dalam longkang berkenaan.

“Mangsa dipercayai tidak sedarkan diri menyebabkan dia lemas berikutan keadaan longkang itu yang dipenuhi takungan air.

“Mangsa dihantar ke Hospital Marudi untuk bedah siasat selain mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 8:04 AM