LERENG bukit runtuh akibat hujan lebat yang melanda Lembah Klang sejak jam empat petang semalam.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Hujan lebat berterusan selama beberapa jam berserta angin kencang yang melanda Lembah Klang bermula jam 4 petang semalam, menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air manakala ada lereng bukit runtuh.

Antara kawasan terjejas teruk ialah Hulu Klang, Gombak, Ampang dan Hulu Langat.

Hujan lebat dan ribut mengakibatkan beberapa kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang di beberapa kawasan di Ampang.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, kawasan di Batu 7 Hulu Klang dinaiki air antara 0.2 meter hingga 0.5 meter.

“Setakat ini, hanya empat rumah terjejas dan sebuah kenderaan rosak ditimpa tanah lereng bukit yang runtuh.

“Pemerhatian awal mendapati hujan lebat di kawasan terbabit menyebabkan air Sungai Klang mula melimpah,”katanya.

Mohd Sani berkata, kejadian tidak membabitkan mangsa namun pihaknya akan membuat pemantauan.

“Orang ramai diminta berhati-hati dan bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan susulan hujan lebat dan ribut berlaku di beberapa kawasan di Lembah Klang,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 8:00 AM